Translate

Wednesday, January 11, 2012

Merenung Peribadi Khalid Al Walid Yang Belajar Dari Kesalahan




YALAMLAM merupakan salah sebuah kawasan berbukit di sebelah utara Makkah, kira-kira 2 marhalah (92 km) sebelum sampai ke Tanah Haram. Ia merupakan tempat bagi masyarakat Islam di sekitar Yaman ber-miqat. Sekitar perjalanan antara Makkah ke Yalamlam, ada satu kawasan yang namanya Ghuraisa, iaitu sekitar jarak 15 km sebelum sampai ke Yalamlam. Di sinilah berlaku peristiwa sariyyah (peperangan yang tidak disertai Nabi) yang diingati sebagai hari Ghuraisa, peristiwa yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijriah, peristiwa yang mengimbas kembali kesalahan serius yang dilakukan oleh Khalid bersama 350 tentera berkuda yang terdiri di kalangan Muhajirin dan Ansar serta Bani Sulaim.


Ketika itu Khalid baharu selesai membinasakan berhala Uzza setelah diperintah Rasulullah S.A.W, dan kini beliau mendapat arahan daripada Rasulullah lagi untuk bertemu Kabilah Bani Juzaimah yang tinggal di Yalamlam agar mengajak mereka kepada dakwah Islam. Arahan tersebut diterima oleh Khalid pada 25 Ramadhan, dan setelah tiba bulan Syawal Khalid bersama para tenteranya berangkat menuju Yalamlam. Apabila sampai ke Ghuraisa, mereka telah terserempak dengan kabilah Bani Juzaimah yang lengkap bersenjata.
 
 Kabilah Bani Juzaimah terkenal dengan sikap ganas dan 'gedebe' - samseng. Mereka pernah melakukan jenayah pembunuhan ke atas bapa saudara Khalid bin Al Walid bernama Fakih, dan juga membunuh bapa Abdul Rahman bin Auf. Ketika mereka melihat Khalid bersama 350 orang tentera ketika itu, timbul keraguan dalam hati mereka bahawa ada kemungkinan Khalid akan membalas dendam atas perbuatan mereka. Padahal Khalid bertemu mereka atas arahan Rasulullah S.A.W, iaitu untuk mengajak mereka masuk Islam. Lalu apabila Khalid Al Walid bertanya kepada Kabilah Bani Juzaimah tentang siapakah mereka, mereka menjawab dengan tidak menggunakan bahasa Arab fasih yang lazim dengan sebutan, "Aslamna" (yakni kami telah masuk Islam).

Sebaliknya menyebut, "Shoba’na" (istilah masuk Islam yang tidak digunakan oleh masyarakat Quraish). [ Rujuk Ibnu Hajar Al Asqolani, Fathul Bari 8/57 ]

Khalid bin Al Walid tidak memahami jawapan Bani Juzaimah itu, kemudian Khalid bertanya lagi, "Mengapa kamu membawa senjata? Adakah kamu hendak berperang?"

Kabilah Bani Juzaimah menjawab, "Kami berada di dalam krisis permusuhan dengan orang-orang Arab Badwi di sekitar perkampungan ini. Kami tersalah anggap, pada awalnya kami ingatkan kamu adalah musuh".

Khalid kemudiannya memerintahkan kabilah Bani Juzaimah meletakkan senjata mereka dan terus menawan mereka. Selepas itu tawanan tersebut dibahagikan kepada setiap anggota tenteranya di kalangan Ansar, Muhajirin dan Bani Sulaim. Ketika menjelang waktu Subuh, Khalid memerintahkan supaya tawanan tersebut dibunuh. Tentera dari Bani Sulaim menuruti arahan Khalid iaitu membunuh tawanan mereka, manakala tentera Ansar dan Muhajirin membebaskan tawanan tersebut tanpa mentaati arahan Khalid bin Al Walid, kerana tahu tawanan tersebut telah memeluk Islam, tetapi hal tersebut tidak difahami oleh Khalid yang ketika itu mengetuai sariyyah tersebut.

Hal ini disampaikan kepada Rasulullah S.A.W, lalu dengan perasaan duka Baginda bertanya, "Adakah di kalangan kamu ada orang yang membantah tindakan Khalid itu?!!".

Mereka menjawab, "Ada wahai RasulAllah, Abdullah bin Umar bin Salim telah membantah tindakan Khalid".

Mendengar jawapan tersebut, Baginda S.A.W berdoa kepada Allah, "Ya Allah, aku berlepas diri (mohon perlindunganMu) dari apa yang telah dilakukan oleh Khalid bin Walid". [ Rujuk Sahih Bukhari, Kitab Maghazi bab Ba’athsa An Nabi Khalid Bin Al Walid, No:4339 ].

Apa yang jelas, Rasulullah S.A.W tidak setuju tragedi pembunuhan itu berlaku. Hal itu adalah kesalahan yang telah dilakukan oleh Khalid bin Al Walid. Kemudian Rasulullah pun memerintahkan Ali bin Abi Thalib ke perkampungan Bani Juzaimah, memohon maaf, memberikan tebusan (diyat), menenangkan mereka, dan membetulkan insiden yang telah berlaku itu kerana Khalid telah melakukan perkara yang salah. Segala kerosakan dan ganti rugi dilunaskan oleh Ali bin Abi Talib, sama ada harta itu berbentuk unta dan perak, termasuklah bekas untuk minuman anjing sekalipun, bahkan diberikan lebih daripada itu setelah dimaklumkan segala harta yang musnah.

Begitupun apa yang dilakukan oleh Khalid bin Al Walid tidak berhak dihukum qisas kerana tindakan yang dilakukannya mengandungi syubhah dan takwil, sama seperti yang berlaku terhadap Usamah bin Zaid semasa beliau membunuh seorang lelaki yang telah mengucapkan syahadah kerana menyangka lelaki itu hanya berpura-pura untuk mengelak dibunuh. Rasulullah S.A.W memarahi tindakan Usamah R.A, namun Baginda tidak pula menghukum Usamah. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa setiap kesalahan yang dilakukan itu tidak sama levelnya, sebagai contoh orang yang murtad. Orang murtad kerana kejahilan diri dan nafsunya, berbeza dengan orang yang murtad kerana mahu memerangi dan menjatuhkan Islam. Begitulah juga orang yang membunuh kerana tersilap perkiraan, berbeza dengan orang yang membunuh kerana rasa sombong dan angkuh.

Abdul Rahman bin Auf Menegur Perbuatan Khalid

Peristiwa ini menyebabkan berlakunya pertengkaran di antara Khalid dan Abdul Rahman bin Auf. Kata Abdul Rahman bin Auf kepada Khalid, "Kamu orang Islam tetapi telah melakukan kerja jahiliyyah".

"Tidak! Aku lakukan kerana membalas perbuatan mereka terhadap pembunuh bapamu!", jawab Khalid.

"Pembohong!! Aku telah membalas terhadap pembunuh bapaku. Kamu sebenarnya Khalid, telah membunuh orang yang telah memeluk Islam kerana kesalahannya membunuh seorang sahaja di zaman jahiliyyah-nya", kata Abdul Rahman bin Auf.

"Siapa yang mengatakan bahawa mereka telah Islam??", Khalid terpinga-pinga dengan jawapan Abdul Rahman.

Jawab Abdul Rahman lagi, "Semua anggota tentera memberitahu bahawa mereka (Bani Juzaimah) menjawab persoalanmu (ketika berada di Ghuraisa) bahawa mereka telah Islam dan mendirikan masjid! Sebenarnya kamu-lah Khalid yang menuntut bela terhadap pembunuhan bapa saudaramu Fakih!!"

"Tidak! Aku lakukan demi arahan Rasulullah", Khalid menafikan.

Khalid masih sahaja menganggap apa yang dilakukannya itu benar. Mungkin kerana beliau digelar "pedang Allah" (SaifuLlah), menyebabkan Khalid begitu percaya bahawa kebenaran sentiasa berada di sisinya. Namun, Abdul Rahman bin Auf juga memiliki reputasinya yang tersendiri, beliau adalah salah seorang "as sabiqunal awwalun" (orang yang terawal memeluk Islam) dan juga termasuk sepuluh orang Sahabat yang dijamin masuk syurga. Tetapi, pertikaian demi pertikaian tetap juga berlaku sehingga tanpa sedar Khalid menolak kata-kata Abdul Rahman bin Auf secara agresif.

Hal ini akhirnya Rasulullah S.A.W campurtangan dan menyedarkan Khalid, "Berhentilah wahai Khalid. Jangan memaki Sahabatku. Demi Allah, jika kamu meng-infaqkan derma sebesar bukit Uhud, nescaya kamu tetap tidak dapat mampu menyamai walaupun satu cupak infaq mereka, tidak juga separuhnya" [ Rujuk Sirah Ibnu Hisham 2/431 ].

Khalid terdiam dan tersedar kesilapannya. Sehebat manapun gelaran "SaifuLlah", ia tetap tidak memberikan ada apa-apa kelebihan jika dibandingkan dengan pengorbanan generasi Sahabat yang pertama memeluk Islam. Hal ini menyebabkan Khalid mengenali dirinya, menginsafi sikapnya, memuhasabah salah dan silapnya. Dari peristiwa ini Khalid bin Al Walid mendapat pelajaran yang sangat berharga sebagai panduan hari muka.

Benar. Khalid bin Al Walid memang belajar dari peristiwa itu, Khalid betul-betul menginsafi kesalahannya. Maka lembaran-lembaran sejarah berikutnya di dalam sejarah peperangan yang dilalui oleh Khalid, beliau lebih matang dan dewasa. Sepanjang peperangan yang dilalui oleh Khalid sehinggalah ke zaman kekhalifahan Umar Al Khattab, prestasi Khalid Al Walid dipenuhi dengan kegemilangan dan kebanggaan tanpa berlaku kesalahan-kesalahan yang sama seperti yang dilakukannya terhadap kabilah Bani Juzaimah. Bukan sahaja kematangan beliau di medan perang, malah lebih dari itu lagi, Khalid bin Al Walid memiliki kematangan ruhiyah yang luar biasa. Hal itulah yang diabadikan sejarah saat Khalid dipecat Umar sebagai komander perang di saat perang Tabuk. Khalid terus berperang sekalipun dipecat dari jawatan tertinggi, malah lebih gigih lagi di belakang pimpinan Abu Ubaidah bin Jarrah.

"Aku berperang mengharap keredhaan Allah, bukan menagih keredhaan manusia".

Setiap manusia pernah melakukan kesalahan. Besar atau kecil. Sengaja ataupun tidak sengaja. Yang menjadi masalah adalah, apakah kesalahan itu menginsafkan kita atau tidak. Adakah kita bertaubat atau mengulanginya dengan penuh bongkak. Belajarlah dari kesalahan itu sehingga menjadikan penilaian kita lebih matang dan dewasa, justeru hal itu tidak menyebabkan kita mengulangi kesalahan yang sama dan bersikap kekanak-kanakan selama-lamanya. Para salafus soleh selalu memuhasabah diri sebelum tidur. Maka, kesalahannya dapat diperbetulkan semula kurang dari 24 jam. Mereka cepat bertaubat, segera mengambil ibrah, membersihkan segala kekotoran sehingga menjadikan jiwa semakin matang, luas pemikirannya seiring zaman yang mereka lalui.

Bagaimana pula kita? Adakah kita belajar dari kesalahan dan kesilapan yang kita lakukan? - TARBAWI

No comments:

Post a Comment