Pengerusi Jawatankuasa Jingga PR, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, empat tawaran itu merupakan jalan keluar bagi mengatasi krisis yang menurut mereka melanda negara ini sekarang.
Ada empat bidang besar yang akan jadi tunggak kepada Tawaran Jingga," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.
Pertama menurut beliau, ialah usaha menangani krisis penjawat awam manakala kedua menyentuh soal federalisme.
"Ketiga, kertas kerja adalah mengenai antimonopoli dan terakhir, isu-isu felda," katanya pada sidang media sempena Konvensyen Pakatan Rakyat di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden Pas Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PKR N Surendran dan Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai.
Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, konvensyen kali ini juga akan membincangkan penyelesaian untuk menjadikan Malaysia Baru dengan menggunakan pendekatan berbeza.
Sementara itu, Mahfuz berkata, perbincangan ketiga-tiga parti dalam PR kini lebih bertumpu kepada persiapan menghadapi pilihan raya.
"Kita menjangkakan bahawa paling awal Parlimen dibubarkan pada Februari selepas perayaan Chap Goh Meh manakala paling lewat kita rasakan pada Jun," katanya.
Katanya, kelainan konvensyen pada kali ini juga ialah terdapatnya satu slot ucapan oleh wakil mahasiswa, budayawan, penjawat awam, wakil dari Sabah dan Sarawak, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil dari Felda.
Katanya, ia bertujuan untuk memberi ruang kepada wakil-wakil tersebut tampil beri pandangan dan luah masalah mereka.
"Kita mahu mengetahui apa tanggapan dan luahan mereka terhadap masalah yang dihantui mereka terhadap pemerintahan Barisan Nasional (BN).
"Ini yang kita mahu kongsikan dan ia akan memberi input pada PR seterusnya kepada Malaysia," katanya.
Antara wakil yang akan beri ucapan pada konvensyen ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Datuk S. Ambiga dan wakil mahasiswa, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Razab.
Sempena konvensyen kali ini juga, prakonvensyen akan dibuat pada Jumaat ini. Sebanyak 14 bahagian Parlimen di Kedah akan dijelajah dengan mengadakan ceramah oleh pimpinan PR.
Pada malam konvensyen, satu Rapat Rakyat Perdana akan diadakan dengan menampilkan barisan pimpinan tertinggi PR seperti Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Karpal Singh.
Menurut Mahfuz, sasaran pengunjung konvensyen kali ini ialah seramai 100,000 orang dengan perwakilan dijangkakan 2,500 orang./Sinar Harian
No comments:
Post a Comment