Translate

Thursday, January 19, 2012

Awie Disihir, Muntah Bulu Ayam

IPOH, 19 JANUARI 2011: Vokalis kumpulan Wings yang juga penyanyi rock terkenal, Awie mendakwa dirinya telah menjadi mangsa perbuatan sihir oleh pihak tertentu yang menghantar 'santau tuju-tuju' kepadanya lalu menyebabkan dia mengalami pelbagai kejadian pelik termasuk muntah yang mengandungi jarum dan bulu ayam.

Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 43, dalam kenyataannya kepada akhbar tabloid Harian Metro hari ini turut menambah bahawa kesihatannya kini terjejas dan bertambah serius kebelakangan ini apabila dia turut diserang batuk dan bengkak kaki.

Serangan penyakit misteri ini telah dihidapinya sejak beberapa tahun lalu dan terbaru berlaku ketika dia menjayakan persembahan pentas bersama Ella di Istana Budaya, Kuala Lumpur, minggu lalu apabila tiba-tiba beberapa bulu ayam terkeluar daripada mulutnya.

Awie ketika ditemui Harian Metro semalam memberitahu usahanya menjalani perubatan moden tidak memberi jawapan yang memuaskan, lalu atas saranan beberapa rakan, dia mencuba beberapa kaedah perubatan tradisional. Hasil dari kaedah perubatan tradisional itu, Awie tergamam apabila beberapa jarum halus dan bulu ayam keluar daripada tubuhnya.

Semuanya bermula apabila dia menerima rawatan bengkak kaki kiri dan sangkaan awal Awie dia menghidap gout. Namun selepas sekian lama, penyakit itu tidak pulih malah bertambah teruk apabila dia menghidap batuk yang tanpa henti sehingga menjejaskan komitmennya dalam dunia seni.

Akibat masalah itu, dia terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit kerana lenguh tubuh badan dan mengalami batuk berterusan. Setelah hampir tiga bulan bergantung pada ubat-ubatan, dia akhirnya mendapatkan rawatan pakar dan beberapa kali menjalani ujian x-ray untuk mengenal pastinya, namun tiada jawapan yang pasti.

Disebabkan keadaan itu, dia beralih arah kepada perubatan tradisional dan penemuan jarum dan bulu ayam itu amat mengejutkannya kerana sebelum ini dia sendiri kurang percaya terhadap unsur mistik.

"Saya dimaklumkan ia angkara buatan orang yang tidak puas hati dengan saya. Saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa atau sengaja ingin mendatangkan masalah kepada orang lain, namun sedar kerjaya saya ini mudah mengundang rasa kurang senang pihak lain.

"Saya juga yakin, wujud manusia yang bertopengkan syaitan. Di depan kita berpura-pura baik namun menikam kita di belakang dan menunggu masa membinasakan kita. Bagaimanapun, saya anggap ini semua ujian dari Tuhan dan saya tabah melalui dugaan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment