Translate

Saturday, December 31, 2011

MAS rombak pengurusan tertinggi lagi?

pix_gal0
Tindakan bagi membolehkan syarikat jana pertumbuhan, laksana pelan pemulihan



Dah berapa kali rombak dan penstrukturan semula MAS ni...baru ni ditelan oleh bilis(Air asia)....ni nak bagi makan kat big mamos plok kot.....ni nak buang dan lantik sapa plak ni...aku rasa MAS ni dah bankrap dan hancur dah....penjahat makan duit dan auta ramai sangat.....

PENERBANGAN Malaysia (MAS) mengumumkan rombakan besar-besaran pasukan pengurusan tertingginya menjelang tahun baru 2012 dalam usaha menyatukan kembali kakitangan serta membolehkan syarikat itu menjana pertumbuhan, sekali gus menjayakan pelan pemulihan perniagaan baru yang diumumkan 7 Disember lalu.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu dalam kenyataannya berkata, berkuat kuasa esok, bahagian Pengalaman Pelanggan, Operasi, Modal Insan, Rangkaian, Strategi dan Perancangannya akan melapor terus kepada Ketua Eksekutif Kumpulan iaitu Ahmad Jauhari Yahya.
Di bawah struktur baru pengurusan itu, Ahmad Jauhari turut memegang jawatan Ketua Eksekutif Bahagian Penerbangan Jarak Jauh MAS.
Sementara itu Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan, Mohammed Rashdan Yusof pula dilantik sebagai Ketua Eksekutif Penerbangan Jarak Dekat MAS dan akan bertanggungjawab mengetuai operasi penerbangan jarak dekat, kewangan kumpulan, kewangan pesawat serta pengurusannya.

Mohammed Rashdan juga turut dipertanggungjawab bagi menerajui Bahagian Komersial MAS.

Mengulas mengenainya, Ahmad Jauhari berkata, struktur pengurusan baru itu akan memperlihatkan bermulanya era baru MAS untuk menerapkan kemegahan di kalangan kakitangannya serta mengukuhkan keyakinan di kalangan pelanggan serta pemegang sahamnya.

“Dalam perubahan pasukan pengurusan, ia turut membabitkan pembentukan beberapa unit perniagaan baru, selain menamakan semula fungsi sedia adanya.
“Pada masa sama, syarikat juga memperkenalkan ketua baru yang mengambil alih peranan orang lama yang sudah memutuskan untuk meneruskan peluang kerjaya mereka dalam bidang lain,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pertukaran tanggungjawab itu juga akan memastikan pelaksanaan pelan pemulihan perniagaan MAS berjalan lancar, sekali gus berupaya meningkatkan semula reputasi kumpulan serta kepentingannya.

Antara pegawai pengurusan utama yang mengundur diri dari syarikat itu termasuk Datuk Dr Amin Khan (Bahagian Strategi Komersial), Mohd Roslan Ismail (Bahagian Kejuruteraan Aeorangkasa MAS), Shahari Tan Sri Sulaiman (MASkargo) dan Datin Sharifah Salwa Syed Kamaruddin (Bahagian Pengurusan Pendapatan).

“Pasukan kepimpinan MAS akan diperkukuhkan dengan penyertaan Hugh Dunleavy yang akan menerajui Bahagian Rangkaian, Kerjasama, Strategi dan Perancangan; dan Shihaj Kutty yang akan mengetuai Bahagian Pengurusan Pendapatan,” kata Ahmad Jauhari sambil menambah kedua-dua mereka akan memulakan tugas masing-masing di MAS pada pertengahan Januari ini.

Mengenai pembentukan bahagian baru, Ahmad Jauhari, antara lain ia merangkumi Rangkaian, Kerjasama, Strategi dan Perancangan (RKSP) serta Pejabat Pengurusan Program (PPP).

Katanya, RKSP akan bertanggungjawab menyokong pelaksanaan rangkaian kumpulan secara efektif dalam memenuhi keperluan dinamik pasaran selain memanfaatkan rangkaian strategik dan kerjasama dengan syarikat penerbangan lain.

“RKSP adalah tonggak utama pelan pemulihan perniagaan dan ia menumpukan aspek seperti perancangan, rangkaian, penggunaan pesawat dan strategi,” jelasnya.

Katanya, bahagian PPP pula akan berperanan sebagai kumpulan pelaksana, penyelaras dan pengurus kepada inisiatif utama serta aktivitinya bagi menyokong fasa di dalam pelan pemulihan perniagaan MAS, selain turut mendokong peranan dalam membuka serta memaksimumkan nilai MAS.

Bahagian perniagaan yang dinamakan semula bagi mengukuh dan menyokong pelan pemulihan perniagaan ialah Komunikasi Strategik yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Komunikasi; Kewangan Pesawat & Pengurusan (sebelum ini dikenali sebagai Kewangan Korporat); dan Audit Dalaman (sebelum ini Nasihat Perniagaan & Audit).

No comments:

Post a Comment