Translate

Friday, November 23, 2012

Perwakilan Umno ditegah membuka mulut


Aspan Alias, 23 Nov 2012
Salah seorang Naib Presiden UMNO Dato' Seri Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO telah mengarahkan perwakilan untuk menutup mulut dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula 27hb November ini. Arahan ini bertujuan untuk perwakilan tidak menyentuh pandangan isu yang berbeza memandangkan pilihanraya luar biasa akan mereka hadapi tidak lama lagi. Perwakilan di arah untuk tidak menyentuh perkara-perkara yang sensitif kerana ia boleh melemahkan parti dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.
Presiden dan Timbalan Parti itu akan bertemu dengan perwakilan sehari sebelum perhimpunan itu diadakan bagi menentukan apa yang boleh dibincangkan dan setiap Perhubungan Negeri akan menamakan siapa yang akan berucap dalam perhimpunan itu. Arahan ini adalah arahan yang tidak pelik dalam UMNO dan saya berharap mana-mana parti dalam PR tidak akan melakukan perkara yang dilakukan oleh UMNO itu. Apa maknanya Perhimpunan Agung jika perwakilan tidak boleh bercakap apa yang mereka ingin perkatakan untuk kebaikan parti.

Ini adalah budaya biasa dalam UMNO kerana apa yang diucapkan oleh perwakilan itu telah di tentukan oleh pucuk pimpinan. Dalam Perhimpunan Agong itu apa yang akan diucapkan sudah ditentukan dan semasa perhimpunan itu perwakilan hanyalah di tugaskan untuk bertepuk tangan dengan kuat sahaja. Selain dari itu perwakilan hanya membuat lawak jenaka untuk hiburan murahan bagi pimpinan yang berada di atas pentas nanti.

Budaya ini wujud hanya setelah penubuhan UMNO (B) pada tahun 1988 dahulu kerana pucuk pimpinan tidak gemar mendengar rungutan ahli-ahli dan rakyat di akar umbi. Pucuk pimpinanan hanya suka mendengar perkara yang baik-baik sahaja dan jika boleh mendapat pujian dari perwakilan yang berucap dan di ikuti dengan tepukkan gemuruh dari perwakilan yang menyelang-selikan ucapan dengan jenaka dan lawak yang mampu membuat pimpinan di atas ketawa besar sambil mengangkat tangan kegembiraan.

Itulah sebabnya UMNO yang baru berusia 24 tahun itu tidak berkembang kerana pemikiran ahli dan perwakilan telah di penjara oleh pucuk pimpinan. Mereka (perwakilan) hanya di arah untuk menyebut isu yang sedap-sedap sahaja. Perwakilan UMNO akan hanya di arah untuk memberikan kutukan dan cemuhan terhadap pimpinan PR seperti Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz, LGE, LKS dan lain-lain. Ini merupakan isu yang sudah dijangka oleh orang ramai dan ia akan menjadi isu yang dianggap sudah basi dan menjemukan.

Kita boleh menjangkakan yang Najib akan berucap bergegar-gegar, sesuai dengan sifat seorang pemimpin yang pengecut dan penakut. Selalunya sesiapa yang bercakap dengan gegaran retorik yang besar-besar mereka ini adalah mereka yang terlalu banyak perkara yag hendak di tutupi. Mereka ini adalah dari gulungan yang penakut, ibarat orang berjalan di dalam gelap di kampung-kampung pedalaman. Di dalam gelap itu mereka selalunya akan menyanyi sekuat hati dari lagu Ahmad Jais, lagu Mat Sentul sehinggalah lagu P Ramlee dan semuanya itu untuk menghilangkan rasa takut dan ngeri mereka berada di dalam gelap itu.

Tetapi dalam pada menyanyi lagu P Ramlee itu, mereka juga merasakan seram sejuk di tubuh mereka kerana takutkan kepercayaan tahayul tentang hantu dan sebagainya yang berkeliaran di dalam gelap itu.. Begitulah juga yang sedang berlaku kepada Najib. Beliau akan berucap bergegar-gegar dengan nada yang tinggi dan kuat untuk menyorokkan perasaan takut beliau menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.

Berbalik kepada arahan menutup mulut itu, ia melambangkan kelemahan yang banyak dalam UMNO itu. Mereka tidak memahami bahawa perwakilan setiap tahun itu adalah untuk perwakilan negeri-negeri menyampaikan masalah-masalah kepada pucuk pimpinan. Semasa Mesyuarat Agung seperti inilah masa yang baik untuk meluahkan perasaan tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan atau yang berlaku di dalam parti yang uzur itu. Dalam Perhimpunan Agung itulah masa untuk melambakkan apa yang perlu diketahui dan dirasakan oleh pucuk pimpinan secara bersama.

Kalau Ahmad Zahid mengarahkan perwakilan untuk menutup mulut maka tidak salah jika orang ramai menganggapnya sebagai mesyuarat agung orang-orang bisu sahaja. Ahmad Zahid mahukan agar perwakilan hanya ‘buat tidak tahu sahaja’ tentang apa yang berlaku di dalam UMNO. Ada telinga dengar, ada mata pandang dan jangan bercakap apa-apa. Kalau bercakap itu merupakan kesalahan. Maka tidak salahlah apa yang saya katakan selalu, dalam UMNO bercakap benar adalah satu kesalahan besar.

UMNO adalah sebuah parti dalam mana ahli-ahlinya dididik untuk tunduk dan mengangguk sahaja dan di dalam perhimpunan itu adalah tempat untuk mendengar lawak jenaka dan kita akan lihat Utusan Malaysia menyiarkan gambar-gambar Najib dan Muhyiddin ketawa besar dan akan di sertai oleh Khairy Jamaludin dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi parti yang lain.

Inilah kejayaan UMNO yang terbesar, iaitu memenjarakan pemikiran dan perasaan rakyat dan itulah sebabnya ada orang Melayu menganggap UMNO itu lebih tinggi dari agama. Chua Soi Lek boleh menghentam agama suci kita, tetapi jangan menghentam pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Siapa yang berani mengecam pemimpin mereka, yang mengecam itu akan tidak mendapat kedudukan lagi di dalam parti dan kerajaan dan akan segera di sisihkan.

UMNO lebih buruk kerjanya dari penjajah British dahulu. Penjajah British dahulu mahukan orang Melayu untuk mudah berpuas hati dan tidak diberikan peluang untuk memegang jawatan besar-besar dalam kerajaan. UMNO pun begitu. Orang Melayu dididik untuk sentiasa berterima kasih dengan bantuan gigi palsu, dan pemberian lembu dan kerbau pawah kepada petani-petani kecil di kampung-kampung. Jika ada yang bercakap dan mengkritik, UMNO akan mengungkit-ngungkit apa yang mereka telah berikan walaupun pemberian itu hanyalah sebatang dua gigi palsu.

Jangan mengkitik UMNO kerana UMNO lah yang membawa api letrik ke kampung-kampung dan UMNO jugalah yang menyalurkan air paip ke rumah-rumah rakyat. Tetapi UMNO tidak pula memberi tahu yang semua negara dalam dunia ada api letrik dan bekalan air bersih walaupun di negara-negara tersebut tidak ada parti UMNO. Di Amerika Syarikat (AS) tidak ada parti UMNO. Begitu jugalah di Jepun dan di Britain tidak ada UMNO tetapi mereka ada bekalan air yang lebih baik dari yang ada di negara ini DAN rakyat mereka menggilir-gilirkan parti-parti yang memerintah mereka.

Maksudnya itu adalah tanggungjawab setiap pihak yang dimandatkan oleh rakyat dengan menggunakan sumber kewangan dari rakyat untuk melaksanakan semua projek pembangunan negara. Mereka itu sendiri di bayar gaji dan elaun untuk mentadbir rakyat dan tidak munasabah rakyat pula yang perlu berterima kasih kepada UMNO.

Kepada UMNO kita ucapkan selamat bersidang dan kepada para perwakilan yang berucap sediakan beberapa lawak jenaka untuk hiburan pimpinan di atas pentas itu nanti. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment