Pilihanraya, Muktamar, Mesyuarat Agung Tahunan dan seumpamanya adalah merupakan sesi rasmi saat kepimpinan dirombak, dinilai ataupun dilakukan pemilihan semula. Ia adalah proses muhasabah, tajdid dan islah yang sentiasa menjadi daya tarikan dan dinamika sesebuah negara apatah lagi bagi gerakan Islam yang bergerak di atas pentas politik demokrasi untuk memperjuangkan Islam. Maka, persoalan "memilih" dalam hidup ini adalah tiada pilihan. Mesti memilih. Jika tidak, kehidupan akan terhenti disebabkan kerosakan akibat enggan memilih. la samalah kerosakannya dengan memilih perkara yang salah. Ini kerana enggan memilih adalah bermaksud memilih untuk menafikan hak kemestian memilih dalam kehidupan. Maka, selain mesti memilih, pilihan itu juga mestilah tepat.
Berlaku demikian adalah kerana memilih itu adalah nukleus kepada kehidupan dan rahsianya. Dunia ini dicipta dengan dua unsur yang bertentangan, kebaikan dan kejahatan. Kedua-duanya dicampur gaul oleh Tuhan sang pencipta sehingga sebahagiannya menjadi sukar dicamkan baik daripada buruk, walaupun sebahagian besarnya tetap mudah untuk dikenali. Kemudian manusia, makhluk unik dan bergeliga dihantar ke dunia untuk mendiaminya. Bukan sekadar mendiami, bahkan dengan satu tugas agung seagung penciptaanNya juga yang dipersiapi dengan segala kecukupan untuk melaksanakan tugasan itu dengan sebaiknya. Tugas itu adalah memilih yang baik untuk dirinya daripada yang buruk dan tidak layak untuknya.
Tugasnya adalah memilih. Memilih itu adalah amanah yang terbeban ke atasnya. Kerja memilih itu pula adalah menjadi peranan hakikinya sebagai seorang khalifah Allah di muka bumi. Di dalam al Quran, Allah menyebut tugas manusia sebagai ibadah kepadaNya, menjadi khalifah dan satu amanah. Ibadah atau tunduk menyembah Allah bukan mudah. Manusia terpaksa memilih dahulu. Inilah pilihan pertama, agung dan pemutus. Pilih samada Allah atau thaghut, iaitu selain Allah. Perhatikan, adakah memilih di saat ini adalah pilihan atau satu kemestian? Ya, manusia mesti memilih yang tepat iaitu Allah. Jika tidak, kehancuran adalah di depan matanya. Setiap saat kehidupannya adalah sia-sia dan bala.
Perhatikan, siapakah yang akan memilih keikhlasan selain orang yang baik-baik. Sifat munafik, bohong dan khianat biasanya menjadi pilihan orang-orang yang jahat dan buruk hidupnya. Manakala pula perbuatan-perbuatan yang baik seperti berkata benar, menepati janji, rendah diri dan sebagainya, adakah ia pilihan orang-orang yang jahat? Pastinya tidak bukan?
Kekufuran terhadap Allah adalah seburuk-buruk kesalahan manusia menjalani kehidupan anugerah Allah kepadanya. Ia memilih untuk tidak mengiktiraf hak Allah sebagai penciptaannya. Maka hidupnya secara automatik adalah memilih thaghut atau selain Allah. Selain Allah adalah palsu dan kepalsuan selama-lamanya tidak akan menyamai, apatah menggantikan kebenaran dan hakikat, iaitu Allah Yang Maha Esa.Kemudian, selepas memilih Allah sebagai Tuhannya, manusia terus mesti memilih. Ia mesti pula memilih jalan menuju Allah. Satu jalan besar yang dibuka buat manusia mengenal, mendekati dan menyembahnya. Jalan itu ialah Islam.
Adakah memilih Islam satu pilihan atau kemestian? Ya, satu kemestian yang terbukti sekali kebenarannya apabila seluruh agama langit gagal memperkenalkan kepada manusia hakikat Allah dan keaslian arahanNya ke atas manusia. Maka, barang siapa yang memilih selain Islam, ia tidak diterima Allah. Justeru, memilih yang salah adalah lubang menuju kehancuran. Mereka hidup mengenali Allah yang palsu sekali.
Itulah dua yang utama. Hakikatnya, melakukan tindakan memilih adalah satu tugas insani yang terbeban dan amanah. Dapat dilihat daripada dua gambaran utama di atas bahawa pemilihan ini merupakan proses memilih yang baik daripada yang jahat. Manusia jika mahu dirinya baik, dia akan memilih yang baik. Jika sebaliknya, dia pasti memilih yang jahat dan palsu. Kepalsuan, sifatnya tampak asli, mudah diperolehi dan murah pula. Justeru orang yang jahat dan bercita rasa buruk tidak akan kisah untuk memilih keburukan, kejahatan dan kepalsuan.
Maka, terbentanglah di hadapan kita rahsia besar kewujudan manusia di muka bumi iaitu untuk Allah memisahkan orang-orang yang jahat daripada orang-orang yang baik. Kumpulan yang memilih kejahatan akan dihantar ke tempat pilihan mereka iaitu neraka yang menjadi kawah besar kejahatan, manakala kumpulan yang baik akan dimasukkan ke syurga Tuhan, sesuai dengan pilihan dan cita rasa mereka di dunia ini.Kemudian, oleh kerana amalan baik dan buruk itu bertahap-tahap gerangannya, maka perihal memilih juga berbeza-beza keadaan dan hukumnya.
Misalnya, sifat kedekut itu bertingkat-tingkat tahapnya. Memilih untuk kedekut menjadi haram jika ianya di tahap enggan membayar zakat yang fardhu misalnya. Sebaliknya ia menjadi makruh dan tidak digalakkan sekali jika dia membayar zakat tetapi enggan pula untuk bermurah hati dalam soal kebajikan sosial. Begitulah keadaan dan hukum yang dikenakan ke atas perlakuan-perlakuan manusia dan sekelilingnya yang tergadai pada kemaslahatan dan kerosakan yang bakal terjadi ke atas manusia.
Dalam soal memilih pemimpin, hukumnya juga berbeza-beza. Pemimpin yang zalim misalnya, oleh kerana ia membawa anak buahnya ke lembah kezaliman, maka hukumnya adalah wajib ditolak. Wajib pula memilih pemimpin yang adil dan baik. Tetapi, jika terpaksa memilih di antara dua pemimpin yang baik, maka ia adalah pilihan yang terbuka bergantung kepada kelebihan-kelebihan yang membezakan di antara dua pemimpin tersebut. Adalah tepat sekali jika sesuatu kelebihan pemimpin itu diletakkan pada tempatnya yang sesuai. Seorang imam untuk solat, kelebihannya tentu tak sama dengan imam yang akan memimpin kehidupan di luar solat.
Justeru, memilih dalam pilihan raya umum negara, PRU-13 khususnya tentulah tidak sama dengan pemilihan dalam Muktamar PAS. Ini kerana pilihan raya umum melibatkan hal-hal bersangkut keadilan dan kezaliman terhadap rakyat. Realiti kehidupan rakyat yang tertekan dengan kerakusan para pemimpin negara membolot kuasa dan kekayaan negara memestikan seluruh pengundi untuk menolak pemimpin dan parti yang dicomoti dengan kezaliman terhadap agama dan rakyat. Adapun pemilihan di dalam Muktamar Pas, realitinya bersifat pilihan yang lebih terbuka. Ini kerana, sebagai sebuah parti Islam yang lama berjuang untuk menegakkan Islam dan keadilan, ia telah pun mengikat keahliannya dengan syarat-syarat ketat yang mampu mengelak ahlinya daripada terlibat dengan unsur-unsur kezaliman seperti dosa-dosa besar peribadi, apatah melibatkan rakyat. Maka ia begitu berkisar pada mengukur kelebihan-kelebihan yang dimiliki bakal pemimpin yang selayaknya berada di tampuk kepimpinan parti dan juga politik negara.
No comments:
Post a Comment