Menurut Khir, pemberian wang tunai itu memang mewujudkan “rasa senang” rakyat Malaysia, namun ia hanya dirasai mereka yang berumur 50 tahun ke atas.
Tawaran yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah turut memberikan tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional, kata Khir seperti dilaporkan The Malaysian Insider.
Khir turut memberi amaran kerajaan BN mempunyai tugas sukar untuk menarik perhatian mereka sedangkan pengundi lingkungan 21-30 dan 30-50, sudah “muak dengan politik”.
“Rasa senang itu ada namun terhad kepada pengundi berusia 50 tahun ke atas … mereka sudah sememangnya menentukan siapa yang akan mereka undi.
“Mereka berusia lingkungan 30 ke 50 masih belum membuat keputusan, tapi lebih bahaya adalah mereka yang berumur 21-30 yang tidak minat politik,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.
“Saya beritahu Perdana Menteri, (Datuk Seri Najib Razak) pengundi 21 ke 30 tahun adalah masalah. Mereka tidak menikmati faedah daripada BR1M … bagaimana hendak menarik perhatian kumpulan ini,” kata Khir merujuk kepada Bantuan Rakyat 1 Malaysia.
Najib mengumumkan sejumlah RM500 untuk isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dalam pembentangan belanjawan Oktober lalu, bagi mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup.
Pemberian wang tunai besar-besaran itu dianggarkan diterima 5.3 juta isi rumah dengan kos RM2.3 bilion. Perdana Menteri bulan lalu menjelaskan 80 peratus, atau 3.74 juta daripada 4.78 juta isi rumah memohon untuk BR1M sehingga pada 1 Mac, menjadikan sejumlah RM1.92 bilion sudah diserahkan.
No comments:
Post a Comment