PETALING JAYA: Aktor Remy Ishak berkata dia tidak berasa bimbang
atau mengambil serius kecederaan di bahagian dahi yang dialaminya ketika
penggambaran filem Bravo 5 pada malam Jumaat.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 30, berkata, ia bukan
alasan untuk membatalkan komitmen kerja walaupun luka itu kelihatan
dalam akibat tujahan senapang ketika babak kejar-mengejar yang
dirakamkan di Tapah, Perak itu.
“Ramai yang kata luka pada dahi saya agak serius dan dalam tetapi saya
tidak mahu ia menjadi alasan untuk tangguhkan penggambaran dan kerja
lain.
"Saya tidak bimbang dan tiada apa yang serius. Selepas ia berlaku, kami
berehat kira-kira 10 minit untuk menghentikan pendarahan dan hanya
menampal dengan plaster sebelum menyambung penggambaran,” katanya ketika
dihubungi mStar Online di sini, Sabtu.
Bercerita mengenai kejadian itu, Remy berkata ia berlaku kerana kesilapan pengaturan masa(timing) ketika penggambaran babak yang membabitkannya dan Beto Kusyairy.
“Perkara sudah hendak jadi, saya tidak salahkan sesiapa pun. Kami pun
tidak sangka ia berlaku kerana ketika sesi latihan, semuanya berjalan
dengan lancar.
“Ia berlaku kerana kesilapan pengaturan masa di mana, muncung senapang
Beto telah tercucuk ke arah dahi saya secara tidak sengaja,” hurainya.
Bagaimanapun, kata Remy, demi filem itu dia sanggup menggagahkan diri dan meneruskan penggambaran sehingga selesai.
Bagaimanapun, kata Remy, demi filem itu dia sanggup menggagahkan diri dan meneruskan penggambaran sehingga selesai.
“Saya tidak mahu batalkan penggambaran kerana ia akan membabitkan banyak
pihak. Kebetulan pula, babak itu adalah yang terakhir untuk
penggambaran bagi hari itu (Jumaat).
“Hanya selepas semuanya selesai kira-kira pada pukul 2 pagi, baru saya
mendapatkan rawatan di hospital askar di sana tetapi masih tidak dapat
melakukan jahitan kerana ketiadaan pakar,” katanya.
Ujar Remy, walaupun luka itu belum dijahit dia tetap menghadiri sebuah
program konvoi bermotosikal pada pagi Sabtu dan hanya mendapatkan
rawatan susulan pada sebelah petang.
“Saya terpaksa tangguhkan rawatan kerana temu janji dengan doktor hanya akan berlangsung pada sebelah petang (petang Sabtu).
"Malah, saya sempat menyertai program konvoi bersama Dira Abu Zahar
& Red Garage pagi tadi. Saya akan ke hospital pakar di Kuala Lumpur
pada petang ini untuk mendapatkan rawatan lengkap,” ceritanya.
Bravo 5 yang diarahkan Yeop Hitler itu berkisar mengenai perjuangan askar Melayu dalam menentang kemaraan Komunis.
Filem epik peperangan itu dijangka menamatkan penggambaran dalam masa terdekat.